Saturday, November 8, 2008

Patutkah umat Islam gembira dengan kemenangan Obama?


Oleh HTM
Khamis, 06 November 2008 20:10

WASHINGTON 5 Nov. – Sejarah Amerika tercipta hari ini apabila Barack Obama, memenangi pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS), sebagai Presiden kulit hitam pertama di Amerika dalam tempoh 232 tahun sejak negara itu mencapai kemerdekaan dari kuasa Eropah. Obama, 47, yang mewakili Parti Demokrat mengetepikan pencabar kuat daripada Parti Republikan, John McCain dengan membolot 349 undi melepasi undi minimum sebanyak 270 bagi melayakkan seseorang calon untuk diisytihar menang bagi menduduki rumah berpuaka White House.

Bukan sahaja di Amerika, malah seluruh dunia, termasuk dunia Islam nampaknya bergembira dengan kemenangan Obama. Kemenangan calon kulit hitam pertama ini seperti telah memberi satu harapan baru kepada dunia sehingga pemimpin dunia Islam pun menaruh harapan yang tinggi kepada anak keturunan Kenya ini, seolah-olah seorang ‘pengaman’ dunia telah muncul. Mungkin juga kerana kebencian ramai orang kepada Bush dengan segala kemusnahan dan kekejaman yang telah dilakukannya, ini menyebabkan masyarakat dunia, termasuk umat Islam menaruh harapan yang tinggi kepada bakal presiden Amerika yang ke-44 ini.

Kita perlu ingat bahawa Obama bukanlah berkeseorangan atau berdiri sendiri dan dia bukannya ‘superman’ yang boleh merubah dunia. Amerika adalah sebuah negara yang dipimpin oleh segolongan orang-orang kuffar dengan segala hukum-hakam kufur diterapkan di dalamnya. Justeru, kita perlu ingat bahawa Barack Obama hanyalah seorang ‘ketua’ kepada semua golongan kuffar tersebut, yang mana berapa ramai di antaranya (golongan kuffar tersebut) yang bencikan agama Islam dan umat Islam.

Kita juga perlu ingat bahawa Amerika adalah negara kepala, pendokong dan pengembang Ideologi kufur Kapitalis dan Obama hanyalah sebahagian darinya. Sebagai sebuah negara Kapitalis yang hidup atas dasar manfaat, Obama yang juga seorang yang berakidahkan Kapitalis tidak akan berkuasa untuk merubah keadaan ini, malah dia tentunya hanya akan menjadi penerus kepada Ideologi kufur ini. Kita semua tahu bahawa tabiat penganut Kapitalis yang hidup hanya untuk mencapai sebanyak mungkin kemewahan dunia, mereka tidak akan berhenti berfikir bagaimana untuk menguasai dunia dengan segala sumber-sumbernya. Dan kita semua tahu bahawa kebanyakan sumber kekayaan dunia berada di negara umat Islam. Justeru, apakah kita mengharapkan bakal presiden Amerika ini hanya akan berdiam diri melihat kekayaan yang melimpah ruah yang ada di dunia Islam, walhal dia boleh menguasai semuanya? Malah dia akan dapat menguasai semuanya dengan begitu mudah kerana pemimpin-pemimpin umat Islam yang ada pada hari ini adalah para pengkhianat yang telah pun menyerahkan kekayaan negara dan nyawa umat Islam kepada golongan kuffar penjajah selama ini.

Presiden Amerika, sebagaimana Perdana Menteri Malaysia juga, ia datang dan pergi. Namun sistemnya tetap sama selama mana ideologi yang dianutnya adalah sama. Sebagai Muslim, kita hendaklah tidak menilai seseorang itu dengan warna kulit luarnya, tetapi kita mesti menilai apa yang ada di dalam pemikirannya yang dizahirkan melalui lisannya dan perbuatnnya. Kita mungkin merasakan atau mengharap bahawa yang warga Amerika yang berkulit hitam lebih baik dari yang berkulit putih, kerana telah sekian lama mereka yang berkulit hitam ditindas oleh mereka yang berkulit putih. Namun, warna kulit hakikatnya tidak mencerminkan apa-apa. Akidah dan pemikiranlah yang menjadi ukuran.

Apa yang jelas setakat ini adalah, bakal Presiden kulit hitam ini telah pun mengisytiharkan ‘kesudiannya’ untuk memperluaskan perang di Afghanistan, yang bermaksud memerangi umat Islam, saudara kita yang berada di Afghanistan. Dia juga secara terang-terangan menyokong kekejaman pencerobohan Israel ke atas Palestin. Dengan kata lain, segala malapetaka yang dibawa oleh pemimpin kuffar penganut Ideologi Kapitalis ke atas umat Islam sebelum ini nampaknya disokong dan bakal diteruskan oleh Obama.

Walaupun misi Obama ingin membawa keamanan kepada dunia, kita mesti ingat bahawa George W Bush laknatullah dulupun menyatakan perkara yang sama, sehinggalah ke saat-saat akhir kekuasaannya kini, Bush masih mengatakan bahawa dia ingin membawa keamanan kepada dunia. Dan kita semua jelas, bahawa ‘keamanan’ yang dimaksudkan oleh Bush adalah dengan membunuh dan memerangi semua umat Islam yang tidak menyokongnya. Hanya dengan pembunuhan ke atas golongan umat Islam yang ingin menerapkan Islam yang dilabelnya sebagai teroris, barulah dunia akan mengecapi keamanan, inilah tafsiran ‘keamanan’ bagi Bush. Bagaimana pula bagi Obama?

Memanglah tidak salah untuk kita meletakkan harapan kepada bakal ketua polis dunia ini, namun sebagai Muslim, apakah kita patut bergembira dengan kemenangan pengganti Bush ini? Apakah yang perlu kita gembirakan dengan kemenangan Obama ini seolah-olah dunia akan dinaungi rahmat kerana kemenangannya? Bukankah dunia hanya akan berada di bawah rahmat jika orang Islam yang memerintah dunia dengan hukum-hukum Allah? Justeru, apakah Obama yang akan meneruskan Ideologi Kapitalis dan melaksanakan hukum-hukum kufurnya ke atas dunia patut kita berasa gembira di atas kemenangannya?

Sesungguhnya kemenangan Obama tidak akan merubah landskap politik dunia. Dunia tetap tidak akan aman dan tidak akan berada di bawah naungan rahmat dan berkat dari Allah. Hanya dengan kepimpinan dunia berada di bawah tangan seorang Khalifah yang berakidahkan Islam dan dengan penerapan hukum Allah secara kaffah, maka barulah keamanan yang sebenar akan tercapai.

Perubahan sebenar yang sepatutnya diharapkan (dan diusahakan) oleh umat Islam adalah perubahan sistem dunia kepada sistem Islam (sistem Khilafah), bukannya sistem Kapitalis. Perubahan sebenar yang sepatutnya diharapkan (dan diusahakan) oleh umat Islam adalah dengan tertegaknya Daulah Khilafah, yang akan menerapkan hukum-hukam dari tujuh petala langit. Sesungguhnya dunia tidak akan berubah hanya dengan terlantiknya seorang kafir yang akan memerintah dengan hukum-hukum kufur, tetapi dunia akan berubah apabila dibaiatnya seorang Khalifah atas Kitabullah dan Sunah RasulNya.
Hiz

No comments:

Post a Comment