Friday, November 28, 2008

Mumbai bermandi darah

28 Nov 2008 11:38AM

MUMBAI: Para penyerang bersenjata telah melancarkan beberapa siri serangan di bandar komersial India malam kelmarin, menyebabkan sekurang-kurangnya 100 orang terkorban dan lebih 300 orang cedera.

Sehingga akhbar ini dicetak, lebih 100 pelancong di Hotel Trident Oberoi masih ditawan oleh anggota militan. Bagaimanapun, para tebusan di Hotel Taj Mahal telah berjaya dibebaskan.

Lapan lagi lokasi turut diserang kumpulan militan yang mengenalkan diri mereka sebagai Deccan Mujahideen.

Ini termasuk sebuah stesen kereta api, sebuah hospital dan sebuah restoran popular.

Seorang rabai dan keluarganya pula ditawan di Bangunan Nariman, yang menempatkan Persekutuan Yahudi India.

Polis India berkata mereka telah menembak mati empat lelaki bersenjata dan menahan sembilan suspek.

Menurut mereka 81 orang awam, enam rakyat asing, dan 14 pegawai polis, termasuk ketua skuad anti- pengganas di Mumbai, Hemant Karkare, turut terbunuh dalam serangan semalam.

Seorang anggota militan di Hotel Trident Oberoi menghubungi saluran televisyen India dan berkata para tebusan hanya akan dibebaskan apabila semua 'mujahidin' atau 'pejuang Islam' yang kini ditahan di penjara India dibebaskan.

'Bebaskan semua mujahidin dan jangan ganggu penganut Islam di India,' kata lelaki yang mengenalkan dirinya sebagai Sahadullah.

Beberapa penggubal dasar dari Eropah termasuk antara pengunjung yang berada di Hotel Taj Mahal apabila penyerang bersenjata menyerbu sejurus tengah malam kelmarin.

'Saya berada di lobi dan tiba-tiba terdengar bunyi tembakan bertubi- tubi,' kata Sajjad Karim, yang menyertai delegasi yang sedang mengadakan lawatan ke Mumbai menjelang sidang puncak Kesatuan Eropah-India.

Menurutnya, seorang penyerang bersenjata tiba-tiba muncul di depan mereka.

'Dan dia mula melepaskan tembakan ke arah kami... Saya cepat-cepat lari di arah bertentangan,' katanya.

Menurut saksi, beberapa lelaki bersenjatakan raifal AK-47 telah menyerbu stesen kereta api Chhatrapati Shivaji dan melepaskan tembakan secara rambang.

'Mereka pakai T-shirt hitam dan jeans biru. Mereka bawa senjata besar. Mereka lepaskan tembakan secara rambang, kemudian melarikan diri. Dalam masa beberapa saat, ramai orang rebah,' kata seorang saksi, Nasim Inam.

Penyerang bersenjata juga melepaskan tembakan di Cafe Leopold, restoran popular di kalangan pelancong asing dan di ibu pejabat polis di selatan Mumbai. Hospital Cama dan Albless serta Hospital G.T turut menjadi sasaran kumpulan itu.

Perdana Menteri India, Manmohan Singh, semalam berkata, 'Serangan yang dirancang rapi, mungkin dengan bantuan luar, bertujuan mencetus huru-hara dengan memilih sasaran berprofil tinggi.'

Stesen televisyen Times Now, yang menukil pegawai perisikan berkata kumpulan bersenjata itu mungkin datang dari Pakistan.

Tentera laut India telah menahan sebuah kapal berdaftar di Vietnam yang disyaki menurunkan pengganas ke dalam bot laju di Laut Arab sebelum menyerang Mumbai, lapor stesen televisyen IBN.

Sehubungan itu, Abdullah Ghaznavi, seorang jurucakap Lashkar-i-Tayyiba, kumpulan militan yang memerangi askar India di Kashmir, menafikan mereka terlibat.

Amerika Syarikat semalam mengutuk serangan itu. Bakal presidennya, Barack Obama, berikrar bekerjasama dengan India untuk 'menghapuskan rangkaian pengganas'. / AFP, AP, Reuters











No comments:

Post a Comment